Friday, January 22, 2016

Hilang Bab 2

Setiap orang yang datang menghampirinya, memeluk dan membisikkan kata-kata semangat ke telinganya dipandang pelik.

‘Banyakkan bersabar El.’
‘Apa guna nak ratapi lagi El? Orang dah takda. Kuatkan hati tu.’
‘Hidup ni harus diteruskan. Move on El.’
‘Cari pengganti la El.’
‘Anak jiran mak cik bujang lagi El. Nak kenal?

Elena mengerutkan dahi. Jantung berdegup kencang. Rasa benci meluap-luap di dada. Ini yang dikhuatirinya. Benda inilah yang menyebabkan dia tak mahu pulang, menghadap manusia palsu berbibir manis. Mudahnya mulut berbicara.

Andai kau berada di tempat aku, kau juga akan mencaci diri kau sendiri kerana bermulut manis berinti racun. Kau takkan faham apa aku rasa. Kau takkan faham perasaan apabila sebahagian daripada diri kau hilang. Kau takkan tahu jiwa remuk aku apabila datang dua orang lelaki bersut hitam menyampaikan berita kehilangan dia, kehilangan separuh nyawa aku. Kau takkan mengerti dunia gelap yang menyelubungi hidup aku. Kau takkan faham kekosongan yang aku rasa. Mudahnya kau berbicara.

“Hei, jauh termenung. Nasib tak tembus bulan tu.” Abah duduk di atas buaian, di sisi anak bongsunya. Elena mencalit senyuman pahit. Kalau dapat tembus bulan itu, takkan Elena duduk di sini macam orang dungu menampal muka plastik dan melayan setiap butir bicara orang biarpun telinga tertutup rapat, tidak mendengar walau sepatah kata.

Abah menebar pandangan ke bulan penuh yang megah memantulkan cahaya putih ke serata langit gelap. “Kalau abah boleh beli bulan tu, dah lama abah beli. Kalau bulan tu boleh buat anak kesayangan abah ni senyum macam dulu, abah sanggup gadaikan semua harta abah untuk beli bulan tu. Nyawa abah pun abah sanggup.”

Elena menyorotkan pandangan matanya ke wajah yang dimamah usia abah. “Abah...”

Abah menarik bahu Elena dekat ke dadanya. Dahi anak bongsunya itu dikucup penuh kasih sayang. “Abah tahu El, abah tahu El sakit. Abah mungkin tak faham apa yang El rasa sekarang, tapi abah tahu hati anak abah ni sakit. Remuk. Hati abah pun sakit El, tengok El macam ni.” Suara abah berubah serak dan Elena terkejut melihat bahu abahnya yang terhinjut-hinjut.

“Abah…” El memusingkan tubuhnya menghadap abah. Air mata yang berlinangan di pipi abah dikesat lembut. “Abah minta maaf El abah tak mampu tolong El.” Tangan Elina dibawa ke bibir dan dikucup lama kedua tangan anaknya itu.

Elena mengetip bibir yang terketar-ketar menahan air mata. “Abah minta maaf El, abah minta maaf.” Ucap abah tanpa henti. Kepalanya tunduk. Rasa bersalah yang membebani bahunya tak tertahan lagi. Elena lantas menarik abahnya ke dalam pelukan.

“Tak abah, abah tak salah apa-apa pun. Abah tak salah.” Elena menggelengkan kepalanya berkali-kali, mahu meyakinkan abah. Abah mengeratkan dakapannya. Lama dua beranak itu berdakapan, melepaskan segala duka yang terbuku di hati. Malam itu, bulan menjadi saksi kesedihan yang selama ini sarat bermukim di dada Elena.

“El, abah sayang El. Sayang sangat. Tahu?” Abah memaut bahu Elena. Wajah anaknya itu dipandang dengan rasa kasih yang menggunung. Elena angguk dan menghadiahkan segaris senyuman nipis untuk abah. “There she is. My baby flower, bunga Elena.” Abah tersenyum melihat senyuman yang terpateri di wajah anaknya itu.

“Tak kiralah umur El berapa, El tetap bunga abah. Sampai bila-bila.” Tambah abah.

Elena tersenyum lagi. Sejak kecil, abah memanggilnya bunga. Kata abah, sebelum Elena lahir, pokok-pokok di laman rumah yang selama ini tak pernah berbunga, tiba-tiba berbunga. Bahkan hingga ke hari ini bunganya kekal mekar mengharum. Abah tak percaya pada tahyul dan khurafat, tapi ketika itu hati abah sudah utuh dengan rasa cinta kepada anak yang masih dalam kandungan. Abah yakin, anak yang bakal lahir ini akan menjadi penyeri, pelengkap dan pewangi dalam hidup mereka sekeluarga.

“Abah nak El janji something kat abah boleh?” Tanya abah tiba-tiba. Elena memandang abahnya dan menampal muka tanda soal.

“Janji dengan abah, bila hati El rasa sakit, beritahu abah. Tak kira pukul berapa, abah akan terus datang teman El. Abah mungkin tak mampu redakan sakit tu, tapi abah boleh teman anak abah ni.  Kita sama-sama harungi. Janji?” Pipi Elena dielus lembut.

“Janji abah.” Elena mengangguk.
~

Elena baru saja selesai mandi apabila pintu biliknya diketuk. “Minta izin masuk.” Wajah lembut mama terjegil di sebalik pintu. Elena tersenyum dan mengisyaratkan mama supaya masuk ke dalam biliknya.

“Dah mandi?” Mama duduk di hujung katil. Matanya menjilat wajah Elena yang sedang mengeringkan rambut dengan tuala putih. “Baru lepas. Bilik ni tak berubah langsung ma.” Ujar Elena sambil duduk di sebelah mama.

“Sama macam dulu kan?” Tangan Elena diraihnya. “Sama. Satu benda pun tak berubah.” Elena memandang bilik yang dihuninya sejak kecil lagi. Gabungan warna pic kuning dan putih ivory, warna-warna kegemaran Elena.

Mata Elena mendarat pada bingkai gambar di atas meja belajar. Gambar kahwin Elena. “El, mama nak beritahu El sesuatu. Mama tak pernah beritahu sesiapa pun benda ni kecuali abah. Tapi hari ni mama nak El tahu.” Ujar mama tiba-tiba. Terus sorotan mata Hana beralih pada wajah mama.

“Benda apa ma?” Elena terasa gementar, dadanya berdebar-debar. Benda apa yang mama mahu ceritakan sehingga wajah mama berubah sampai begitu sekali. Kelam dan derita. Penuh derita.

Mama menarik nafas dalam-dalam sebelum mula berkata. “Mama kahwin dengan abah masa umur mama sebaya El. Sebelum abah El, mama pernah berkahwin dengan lelaki lain.” Elena tergamam. Tak berkelip matanya merenung mama, mencari tipu helah atau lawak jenaka di sebalik wajah tenang itu.

“Maksud mama, abah..” Elena tak mampu menghabiskan ayatnya. Dia takut terluka.

Mama menggeleng kepala. “Abah tetap abah El. Jangan risau sayang. Cuma abah El bukan cinta pertama mama. Cinta pertama mama ialah lelaki yang mama kahwin sebelum abah El. Dia lelaki pertama yang mama cinta, mama sayang. Mama kenal dia dari kecil. Dia kawan baik mama. Dia kenal mama dan mama pun kenal dia. Bila mama masuk kolej, dia lamar mama dan mama pun setuju. Kami kahwin.” Cerita mama menyelak kembali muka surat sejarah hidupnya dulu.

“Mama bercerai dengan dia ke sebelum kahwin dengan abah?” Tanya Elena. Rasa ingin tahu membuak-buak. Mama menggeleng sambil tersenyum pahit. “Dia meninggal dua tahun lepas tu.”

Elena terasa seperti hatinya direntap dan dihenyak kasar. “Mama dah rasa El apa yang El rasa sekarang ni. Mama dah lalui dulu dari El. Dan mama tahu anak mama ni mampu hadapinya macam mana mama mampu hadapinya dulu.” Kedua bahu Elena dipegang kejap.

“Ma.. El..” Elena tak terkata.

Mama menarik Elena ke dalam pelukan erat. “Mama tahu El rasa macam El dah jatuh dalam gaung gelap. El rasa macam tak boleh bernafas. Rasa kosong. Rasa lemas. Rasa sesak. Dan El rasa macam sampai bila-bila pun El takkan mampu keluar dari situ. Tak mampu lari. Terkurung seorang diri, tak mampu pergi tak mampu hilang. Mama tahu El, mama tahu.”

Terus berderai air mata Elena mengalir dan meruntuhkan benteng yang selama ini kukuh memagari hatinya. Ini kali pertama sejak dia hilang, Elena merasakan duka di hatinya berteman. Ini kali pertama dia membiarkan air matanya mengalir seperti air sungai yang memecahkan batu-bata pecah berkecai.

“Tapi El kena cuba bangun nak. Bangun dan hidup untuk dia. Jangan lemah macam ni sayang. Mama tak minta El lupakan dia sebab mama tahu dia selalu ada kat sini. Jadi El jangan takut walaupun dia takda di sisi El. He’ll always be here.” Bisik mama ke telinga Elena sambil menekup tangannya ke dada anaknya itu.

“El rindu dia ma. El rindu dia. El rindu sangat…” Air mata Elena tidak mahu berhenti. Basah lencun baju mama dibasahi air matanya, namun mama setia mendakap erat dan mengusap kepalanya, membiarkan Elena menangis seperti anak kecil yang kehilangan bantal busuk. Malam itu, Elena tidur bertemankan kehangatan mama seperti waktu kecil dulu.
~

Elena melarikan jarinya pada bunga-bunga berwarna-warni yang ditanam abah di belakang rumah. Bau embun dan haruman bunga semerbak memberinya satu ketenangan. Elena terus berjalan, menikmati waktu subuh yang nyaman. Fikirannya melayang terbayang-bayangkan dia. Dia suka taman ni. Jika mereka bermalam di rumah abah, sebelum matahari terbit, dia akan berjalan di sekitar taman ini, menyiram pokok dan membersihkan daun-daun dan bunga-bunga luruh.

“Makin cantik bunga tok ni.”

Serta-merta kepala Elena menoleh dan bibirnya terus mengukir senyuman lebar saat terpandang wajah Tok Wan, nenek yang dekat di hatinya. “Tok Wan!” Elena berlari anak mendapatkan Tok Wan. Tubuh kecil neneknya dipeluk erat-erat.

“Sayang tok ni. Mana menghilang bunga? Tok rindu sangat.” Tok Wan juga memanggilnya bunga. Atas sebab yang serupa dengan abah. Elena ketawa kecil. “El pun rindu tok.” Elena membiarkan Tok Wan mencium pipi dan dahinya.
“Kenapa dah jarang datang bunga?” Tok Wan menatap wajah Elena lama. Elena sekadar tersenyum lemah. Dia tak tahu apa yang patut dia jawab. “Elena masih tak dapat lupakan dia? Elena masih teringat-ingatkan Wil? ” Tanya Tok Wan lembut. Ditarik tangan Elena dan diusap jari-jemari cucunya dengan penuh kasih sayang.

Elena tersentak. Wil.

Satu nama yang buat hati Elena berdegup kencang. Nama yang dahulu sering meniti di bibirnya, nama yang selalu didengarinya. Elena hidup dengan nama itu, nama yang lama terbiar, terkunci dalam memori paling dalam. Satu nama yang buat hati Elena yang telah mati terkubur, kembali menghirup nafas, berdegup.

Wajah Tok Wan dipandang lama. Perlahan-lahan Tok Wan melekapkan kedua ibu jarinya ke pelipis Elena dan menggumam sesuatu dalam bahasa yang tak difahami Elena.

“Tok Wan? Tok W—” Awan seputih kapas berkumpul membentuk figura bunga. Elena tersenyum. Tangannya diangkat tinggi, cuba menggapai awan bunga. Matanya mulai terasa berat. Elena mengelipkan mata beberapa kali.  

Dan mata Elena terpejam.
~

“Elena!”

Elena membuka mata. Wajah bimbang Eris menghiasi pandangan. “Kenapa tidur kat sini?” Soal Eris sambil menarik tangan Elena, membantu adiknya berdiri. “Tidur?” Kerut Elena. Eris mengangguk. Sesaat kemudian, bibir Elena terbuka luas. “Tok Wan!” Jerit Elena separuh terkejut. Kepalanya dipusing ke kiri dan ke kanan. Tiada siapa-siapa melainkan dirinya dan Eris.

“Tok Wan?” Kakaknya itu mengerutkan dahi seperti sedang berfikir. Memori Tok Wan memegang pelipisnya sebelum dia rebah kembali bermain di layar fikirannya. “Elena, is this the same ‘Tok Wan’ when you were a kid?” Soal Eris penuh syak wasangka.

Elena kembali memandang kakaknya. “When WE were kids. Tok Wan selalu datang bagi kita benih bunga, makanan, air. Kakak lupa?” Tanya Elena sambil berkerut-kerut. Eris menggeleng kelapa. “El, kakak tak pernah nampak Tok Wan ni. El yang selalu jumpa dia. Dari kecil. Tapi sejak El dah kahwin, El dah tak jumpa Tok Wan kan? Kakak ingat El dah tak nampak dia dah.” Eris memeluk tubuh.

Sejak kecil, Elena sudah berkawan dengan seorang nenek tua yang dipanggilnya ‘Tok Wan’. Kata adiknya itu, Tok Wan baik. Nenek itu selalu membantu menyiram bunga-bunga di taman abah. Dan kalau ada biji benih, Tok Wan akan taburkan dan jaga sampai pokok itu tumbuh segar. Abah dan mama pada mulanya agak bimbang dengan kewujudan ‘Tok Wan’ namun apabila melihat kegembiraan yang terpancar di wajah Elena setiap kali dia pulang dari taman selepas bertemu dengan Tok Wan, kedua orang tuanya tidak berkata apa-apa. Lagi pun menurut Pak Cik Ibrahim—seorang ilmuan yang arif soal ini, ‘Tok Wan’ tidak akan mengapa-apakan Elena.

“Lama dah El tak jumpa Tok Wan. Lepas kahwin terus El tak jumpa dia dah. Tapi hari ni...” Elena teringat pertanyaan Tok Wan.

Elena masih tak dapat lupakan dia? Elena masih teringat-ingatkan Wil?

Macam mana Tok Wan tahu tentang dia?
~

Elena membuka mata dan memandang sekeliling. Biliknya. Elena berada dalam biliknya. Sambil memejamkan kembali mata, Elena menarik nafas dalam-dalam. Bau dia masih ada. Bau sitrus dan bau kayu manis. Ya bau dia masih ada. Masih melekat. Pada baju. Pada selimut. Pada bantal. Seolah dia masih ada. Di sisi Elena.

Selepas 30 minit Elena mandi, menyegarkan tubuhnya yang lesu membantu kenduri di rumah abah, Elena membaringkan tubuhnya di atas katil. Bantal dia dibawa rapat ke dada. Bau dia semerbak, memenuhi rongga hidungnya, memutarkan memori manis bersama dia.

Elena mahu berkongsi resah yang menimpa dadanya bersama dia, mahu berkongsi mimpi tentang Tok Wan yang menghantuinya sejak dari rumah abah, sejak Elena bangun terpinga-pinga di taman belakang rumah kepada dia. Elena mahu lihat perubahan wajah dia, mahu dengar hembusan nafas dia apabila dia sedang berfikir mendalam, mahu tahu buah fikiran dia, mahu… ketemu dia.


Wajah Tok Wan dibiarkan pudar dari ingatan dan digantikan dengan wajah dia. Wajah dia melayari mata Elena, fikirannya, hatinya. Elena tersenyum lega. Elena akan ketemu dia. Malam semakin pekat. Elena lena bersama harapan untuk bertemu dia.
~

Rosebud says:

Salamualaikum lovelies <3
ABHT dah khatam, sekarang kita move on pada cerita baru pula ya. Jangan segan untuk komen. sila sila. dialu-alukan. Enjoy! Happy reading :)

0 comments:

Post a Comment