Tuesday, July 22, 2014

Aku bukan Hana Tajima! 52

Shuichi mengurut pelipisnya yang dah rasa macam kena ketuk dengan penukul. Kepalanya kusut. Sungguh dia tak faham dengan tindakan terburu-buru sepupunya itu. Mula-mula katanya tak sanggup nak biarkan Hana bersama mana-mana lelaki terutama sekali teman baiknya ketika belajar di Scotland dulu yakni Khasyi. Tapi beberapa minit kemudian, setelah Hana mengetahui perkara sebenar tentang hubungan mereka berdua, Daim terus mengubah fikiran. Dia merelakan Hana bersama Khasyi. Malah dia nekad tak mahu jumpa gadis itu lagi. Daim mahu pergi. Jauh.

“Daim, shinai de. Please don’t do this mate.” Pujuk Shuichi dengan penuh mengharap. Dipandang wajah tegang sepupunya itu lama. Daim menggeleng kepala. “I have to.” Balasnya dingin. (*Shinai de=Jangan buat macam ni ya?)

“Kau tak kesian ke kat Hana? Kau tahukan betapa terseksanya dia sekarang? Kau bayangkan kalau kau tak jumpa dia lagi lepas ni, apa akan jadi kat dia? Tolong Daim, jangan ikutkan hati sangat. Please. Kalau kau pergi, takkan selesaikan apa-apa. Banyak lagi cara nak selesaikan masalah ni.” Shuichi melembutkan suaranya, cuba meniup akal logik ke dalam fikiran sepupunya itu.

Daim menala pandangannya ke siling. Sebaik saja dia meninggalkan Hana tadi, dia terus memecut ke rumah. Sungguh dadanya sakit, sakit menahan rasa pilu melihat air mata yang mengalir di pipi gadis kesayangannya itu. Hatinya remuk mendengar esakan kecil Hana, merintih dan merayu. Dan, bertambah remuk hatinya apabila melihat bibir gadis itu bergetar hebat tika dia cuba menafikan hakikat hubungan mereka berdua.

“Sebab aku kesiankan dia la aku kena buat benda ni. Aku tak sanggup lagi jadi penyebab dia menderita. Kau nampak dia macam mana tadi kan? I can’t see her like that anymore. I can’t take it.” Daim menggeleng-geleng kepala. Sungguh, apabila Hana derita, jiwanya juga menderita.

Telefon Daim yang berada di atas meja berdering lagi. Shuichi memandang telefon sepupunya itu sebelum menala pandangan ke wajah kusut Daim. “Jawablah. She needs you now.” Pujuk Shuichi. Dia tahu siapa si pemanggil dan begitu juga Daim. Ini sudah kali ke berapa gadis itu menelefon telefon lelaki itu.

“No, she doesn’t. What she needs is time. Time will heal her pain.” Ujar Daim keras, seolah mahu menyakinkan dirinya sendiri. Shuichi melepaskan satu keluhan berat. “Daim, please, fikir elok-elok. Jawab phone kau, jumpa dia, dan bincang baik-baik. Jangan buat keputusan terburu-buru macam ni.” Nasihat lelaki Jepun itu lagi. Dalam keadaan macam ni, sesiapa pun tak mampu nak berfikir secara waras.

Daim tidak berkata apa-apa. Deringan telefonnya dibiarkan sehingga berhenti sendiri. Perlahan dia menghela nafas panjang. Beberapa saat kemudian, telefonnya berbunyi lagi. Shuichi memandang sepupunya itu sekilas sebelum bangun dan mengambil telefon Daim.

“Sekejap ya Hana.” Telefon pintar itu dihulur kepada lelaki itu.

Mata Daim mencerun tajam ke wajah Shuichi. “Talk to her.” Arah sepupunya itu. Daim mengetip bibir sebelum mengambil telefonnya dan terus mematikan talian. Dia kemudian menanggalkan bateri telefonnya dan mencampakkan bateri itu jauh hingga ke dapur.

Shuichi tergamam. Sampai begitu sekali tindakan Daim. Dia hanya mampu menggeleng kepala. Tak dapat dibayangkan betapa risaunya Hana sekarang ni. Mesti gadis itu sedang dilanda kebuntuan dan perasaannya berkecamuk.

Hana.

-

Jarinya tidak henti-henti mendail nombor Daim biarpun lelaki itu tidak menjawab. Hatinya sedikit lega apabila  mendengar suara Shuichi tadi namun apabila lelaki Jepun itu menyerahkan panggilannya kepada Daim, talian terus mati. Hana merenung telefonnya sebelum mendail sekali lagi nombor lelaki itu. Namun hampa.

 “Hana.” Panggil Budin yang dari tadi setia menemani Hana yang duduk memeluk betis di depan pejabat Daim. Setengah jam berlalu, setelah Daim meninggalkannya, gadis itu masih lagi termanggu-manggu tanpa berkata apa-apa. Pandangannya kosong menala ke lantai.

“Hana.” Panggil Budin lagi. Gadis itu tidak memberi sebarang respon. Nombor Daim didail lagi. “Hana, jangan macam ni. Beri Daim masa.” Budin melembutkan suaranya. Ditatap dalam-dalam wajah pucat gadis itu.

“Aku tak percaya.” Ujar Hana tiba-tiba. Telefonnya dibiarkan terjatuh mencium lantai. Budin mendengar setia, menanti sahabatnya itu menyambung. “Aku tak percaya.” Ulang Hana lagi sambil menggelengkan kepala. Budin menarik nafas panjang.

“Budin pun tak percaya Hana. Tapi buat masa sekarang ni, Budin rasa Hana dengan Daim, dua-dua perlukan masa. Bila Hana dah tenang, dah boleh fikir elok-elok, dah boleh  buat keputusan, then baru Hana pergi jumpa Daim. Okey?” Nasihat Budin lembut.

“Sekeping gambar tak bermakna apa-apa Budin. Sekeping gambar tak membuktikan apa-apa. Tak mungkin aku dengan Daim.. Aku ni.. Adik..” Hana tak mampu untuk menyambung kata-katanya. Terlalu pedih untuk diperkatakan. Suaranya bergetar dan matanya mula hangat dipenuhi air mata.

Budin tidak mampu bersuara. Walau apa pun yang dia cakap, takkan mampu ubati luka di hati gadis itu. “Aku sayang dia Budin.. Aku sayang dia. Aku cintakan dia. Daim dia.. Tak mungkin aku dengan dia adik.. Tak mungkin... Aku sayang dia Budin.. Aku sayang..” Rintih Hana sambil menepuk-nepuk dadanya. Air mata mengalir deras di pipi gadis itu.

“Hana...” Budin memandang Hana sayu. Dia buntu. Apa yang berlaku hari ni terlalu pantas. Terlalu rumit. Daim anak kepada CEO syarikat ni. Hana dan Daim adik-beradik. Ya Allah, sungguh berat dugaan Mu ini Oh Tuhan.

Gadis itu membenamkan wajahnya ke lengan. Bahunya terjungkit-jungkit menahan tangis yang semakin galak. Esakan Hana mula kedengaran. Budin menggigit bibir bawahnya, menahan rasa pilu yang kian menusuk dada melihat Hana sebegitu. Sungguh gadis ni sedang menderita.

Ya Allah, berilah kesabaran kepada sahabatku ini...

-

Pandangannya kabur. Hana tak pasti sama ada air mata atau pun air hujan yang mengaburi penglihatannya. Hujan lebat dan dentuman guruh sedikit pun tidak memaksanya untuk berganjak. Kakinya terasa kebas. Malah seluruh tubuhnya terasa kebas. Dia tak tahu dah berapa lama dia berdiri kaku di depan pagar rumah makcik Mia. Yang dia tahu, dia perlu jumpa wanita itu. Wanita yang baru diketahui identitinya.

“Hana? Lailahaillallah. Basah kuyup anak aku.”

Hana menoleh saat seseorang muncul di sisinya sambil memayungkannya. Wajah keibuan makcik Mia menyapa. Wanita itu mengesat air hujan yang membasahi wajah Hana dengan sapu tangannya. Gadis itu termanggu-manggu.

“A-Anak?” Suara Hana sayup-sayup kedengaran.

Makcik Mia memegang pipi gadis itu. “Hana buat apa tunggu kat sini? Kenapa tak masuk dalam nak?” Tanya makcik Mia penuh kerisauan sambil menarik lengan gadis itu, memaksanya masuk ke dalam rumah.

Hana tergamam. Kata-kata makcik Mia tadi berlegar dalam kepalanya. Basah kuyup anak aku. Gadis itu tersedar apabila makcik Mia menariknya duduk di sofa sebelum mengelap wajahnya dengan tuala.

“Ya Allah hujan lebat tu Na. Kenapa datang tak cakap? Makcik keluar dengan Daim tadi. Kejap ya Hana, makcik buatkan air panas. Hana cabut dulu tudung tu. Nanti demam.” Wanita itu baru saja nak bangun namun dah dihalang Hana.

Wajah gadis itu dipandang pelik. Perlahan makcik Mia kembali duduk di sebelah Hana. Riak gusar yang terpamer di wajah anak muda itu ditatap lama. “Hana, kenapa ni?” Tanya makcik Mia lembut.

Tidak semena air mata gadis itu mengalir setitis demi setitis. Makcik Mia tak terkata. Terus Hana ditarik ke dalam dakapannya. Dipeluk Hana erat-erat. Biar segala duka yang dipikul gadis itu lebur dengan kehangatan kasih seorang ibu. Makcik Mia mengusap lembut belakang Hana. Lama mereka berdakapan hingga akhirnya Hana meleraikan pelukan. Makcik Mia tersenyum memandangnya.

“Okey dah?” Makcik Mia mengesat air mata yang masih berbekas di pipi gadis itu. Hana mengoyak senyum nipis sebelum mengangguk. “Nak hot choc?” Pertanyaan makcik Mia mengejutkan Hana.

Wanita itu tergelak kecil. “Terkejut? Macam mana makcik boleh tahu air favorite Hana?” Makcik Mia menjungkit sebelah kening. Hana mengangguk sekali. Matanya bulat merenung wanita itu.

“Daim. Setiap kali keluar dengan makcik, mesti dia order hot choc. Tadi pun dia order hot choc juga. Bila makcik tanya dia suka ke minum hot choc sampai setiap kali keluar makan, tak kira la breakfast ke, lunch ke dinner ke, mesti nak hot choc. Dia cakap dia benci hot choc.” Cerita makcik Mia, membayangkan wajah anak lelakinya yang baru saja dijumpanya tadi.

Hana mengetip bibir. Nafas ditarik dalam. Dia benci hot choc.

“Tapi Daim cakap, hot choc buat dia rasa.. macam kat rumah. Bila makcik tengok dia senyum macam ni, makcik tahu dia maksudkan Hana.” Tambah makcik Mia sambil kedua jari telunjuknya menunjuk ke arah hujung mata, mahu menayangkan senyuman anak lelakinya. Bila Daim mengukir senyuman yang satu ni, hujung matanya akan terlipat, menunjukkan betapa bahagianya dia. Senyuman yang hanya terukir bila nama Hana disebut, senyuman bila fikirannya dibayangi Hana, senyuman tentang Hana.

Gadis itu memandang makcik Mia tanpa berkelip. “Daim sayang kat Hana.” Ujar makcik Mia lembut sambil mengangguk, mengakui perasaan anaknya terhadap gadis itu. Hana memaksa secalit senyuman biarpun pahit.

“Makcik, boleh Hana tanya something?” Hana memandang wanita itu. Makcik Mia mengangguk. Senyuman masih kekal terukir di wajahnya. Hana mengumpul kekuatan untuk bertanya lagi.

“Makcik pernah cerita yang makcik ada dua orang anak. Daim, anak lelaki makcik. Jadi.. Siapa lagi seorang?” Hana merenung anak mata wanita yang kian dimamah usia itu.

Makcik Mia menghela nafas panjang sambil mengambil tangan Hana. Diusap lembut tangan gadis itu sambil tersenyum lemah. “Adik perempuan Daim. Nama dia Maisa.” Ujar makcik Mia perlahan namun cukup jelas di telinga Hana.

“M-Maisa?” Hana menahan perasaan yang kian berkecamuk.

Makcik Mia terangguk-angguk. “Nur Maisa.” “Macam mana.. makcik boleh terpisah dengan dia? Dengan Daim dan.. Maisa?” Hana bertanya lagi. Suaranya sedikit bergetar.

Wanita itu membetulkan duduknya sebelum mengalihkan pandangan ke wajah gadis itu. “Sori makcik. Hana.. Hana tak maksudkan nak buat makcik teringkat balik kenangan pahit makcik. Kalau makcik tak nak cerita takpa, Hana tak kisah.. Betul.” Hana seolah dapat memahami makna pandangan makcik Mia. Wanita itu kelihatan berat hati untuk bercerita.

“Takpa Hana. Makcik pun lama dah simpan ni sorang-sorang. Masa tu, Daim dengan Maisa kecil lagi. Tapi diaorang rapat sangat. Daim sayang sangat kat adik dia. Maisa pun sama. Dua-dua asyik nak berkepit je. Setiap hujung minggu, makcik akan bawa diaorang pergi pasar tani, beli buah-buahan, dah jadi rutin. Daim dan Maisa suka sangat buah, terutama buah epal.

 Satu hari ni..

-

“Maisa, sini sayang.” Makcik Mia menggengam erat tangan comel anak kecil itu. Maisa angguk ceria. Genggaman tangan uminya dibalas dengan pautan yang sama erat. “Abang mana?” Umi memandang sekeliling, mencari kelibat anak lelakinya. “Situ.” Tunjuk Maisa ke arah seorang budak lelaki yang sedang membelek epal di kedai buah yang berada tidak jauh dari situ dengan pelat budaknya.

Makcik Mia tersenyum manis. “Maisa, pergi panggil abang. Ajak abang datang sini. Ya? Umi tunggu sini.” Umi mencubit pipi tembam anak kecilnya itu. Maisa angguk patuh.

“Okey umi.” Kanak-kanak itu berlari terkedek-kedek ke arah abangnya sambil memeluk anak patung teddy bear erat ke dada. Makcik Mia memastikan anaknya itu selamat sampai ke sisi Daim. Tiba-tiba hujung bajunya ditarik-tarik. Seorang anak kecil berpakaian lusuh sedang merenungnya sambil menghulurkan tangan, meminta wang. Ya Allah, tak sampai hati pula tengok anak kecil ni. Makcik Mia mengeluarkan beberapa keping wang dan diberikan kepada kanak-kanak itu.

“Adik lapar?” Tanya makcik Mia sambil mencangkung. Kanak-kanak itu mengangguk. Tanpa berfikir panjang, makcik Mia terus memimpinnya ke sebuah kedai yang menjual lauk-pauk. “Pilih je nak makan apa ya.” Pesan makcik Mia. Anak kecil itu mengangguk sambil tersenyum gembira. “Terima kasih makcik.”

“Abang!” Teriak Maisa gembira.

Daim menoleh. Serta-merta bibirnya mengukir senyum sejurus matanya melihat kelibat Maisa yang sedang berlari ke arahnya sambil memeluk anak patung beruang. “Nak epal tak?” Tanya Daim apabila Maisa selamat tiba di sebelahnya. “Nak. Abang kan suka epal?” Maisa menyengetkan kepala, merenung abangnya itu dengan sepasang mata coklatnya.

“Suka!” Daim angguk laju. Matanya kembali pada sebiji epal di tangan.

Maisa memeluk lengan Daim. “Abang, kita minta umi beli nak? Umi cari abang. Jom.” Gesa Maisa sambil menggoyang-goyangkan lengan abangnya itu. Daim ketawa. “Yelah, yelah. Jom!” Jerit abang riang sambil menggoyangkan tangan adiknya tinggi ke langit.

“Yeay~” Maisa menjerit gembira.

“Umi mana dik?” Daim memandang ke kiri dan kanan. Maisa turut menoleh, mencari uminya. “Tak tahu. Umi kata umi tunggu sini.” Balas Maisa sambil memintal telinga anak patung beruangnya.

“Jom cari umi.” Daim menarik tangan kecil adiknya. “Jom.”

Mereka berjalan mencari makcik Mia tapi masih tak ditemui. “Mana umi ni abang? Adik penatlah. Adik nak umi!” Rengek Maisa lemah. Kakinya terasa sakit. Malah seluruh tubuhnya terasa sakit. Daim menggaru kepala. Macam mana nak pujuk adik dia ni?

“Adik, tengok ni. Abang jumpa gambar ni dalam buku otōsan.” Daim mengeluarkan sekeping gambar dari poket seluarnya dan ditunjukkan pada adiknya itu. Mulut Maisa ternganga luas. Terus adiknya itu berhenti merengek. Matanya bulat memandang sekeping gambar itu.

“Gambar kita la!” Jerit anak kecil itu ceria. Daim mengangguk laju. “Gambar kita masa kecil-kecil dulu. Tengok, otōsan dukung adik, umi peluk abang. Adik ingat?” Tanya Daim sambil melirik adiknya yang dah mula tenang. Maisa menggeleng sambil memimikkan wajahnya. “Adik kan kecil lagi. Mana ingat. Apa la abang ni.” Dipukul lengan abangnya penuh manja. Daim ketawa besar.

“A’ahlah. Abang lupa la adik kecil lagi.” Daim menepuk dahi, pura-pura lupa. Maisa ketawa sambil mengambil gambar itu dari tangan abangnya. “Nak tengok lagi.” Pinta kanak-kanak itu. Mereka berhenti berjalan di tengah jalan. Tumpuan mereka pada sekeping gambar itu. Tiba-tiba sebuah van mengundur laju ke belakang dan melanggar mereka.

Suasana di pasar tani berubah cemas. Orang ramai mula memenuhi tempat kejadian. Makcik Mia berkerut melihat sebuah ambulans yang tiba-tiba ada di pasar tani. Hatinya mula rasa tak sedap. Pandangannya melekat pada orang ramai yang berkumpul di tengah jalan.

“Kenapa tu kak?” Makcik Mia menarik lengan seorang wanita yang sedang bergegas ke tempat kejadian. “Kemalangan tu. Dua orang budak kena langgar van.” Balas wanita itu penuh cemas. Makcik Mia tersentak. Dua orang budak...?

Daim! Maisa!

-

“Bila makcik sampai kat tempat kemalangan tu, Daim dalam keadaan  berdarah atas stretcher. Makcik tak nampak mana Maisa. Orang kat pasar tani cakap ada lelaki dah bawa Maisa pergi hospital sebab keadaan Maisa lagi parah. Tapi bila sampai kat hospital, Maisa takda kat situ.” Makcik Mia sedaya upaya menahan perasaan tatkala mengungkap kisah silam hidupnya.

“Lelaki itu bawa Maisa pergi hospital lain.” Ujar Hana perlahan.

Makcik Mia mengangguk. “Makcik cuba cari dia, tapi... Sampai hari ni makcik tak jumpa dia. Makcik tak tahu dia masih hidup atau pun tak.” Balas wanita itu lemah. Wajahnya tampak sedih, seperti menahan beban rindu yang teramat.

“Kenapa makcik dan Daim berpisah?” Hana meneruskan pertanyaannya.

“Nenek Daim tak pernah merestui pernikahan makcik dengan ayah Daim. Yelah, makcik bukan orang senang Na. Keluarga ayah Daim antara keluarga yang disegani dan digeruni di Jepun. Lagi pula, makcik ni orang Melayu. Islam pula tu. Nenek Daim tak suka kat makcik dari awal lagi. Keadaan bertambah keruh bila Daim, cucu kesayangan dia kemalangan bila bersama dengan makcik. Masa tu, nenek Daim nekad nak buang makcik dari hidup keluarga dia, dan dia berjaya usir makcik jauh. Dia guna pengaruh dia. Makcik difitnah dan diugut diambil tindakan undang-undang. Makcik buntu. Makcik takda pilihan lain, makcik terpaksa tinggalkan suami makcik dan anak makcik.”

Hana memandang makcik Mia lama. Dadanya terasa sakit mengenangkan penderitaan yang telah dilalui wanita itu. “Maafkan Hana makcik. Hana tak patut tanya.” Rasa bersalah menggunung di dadanya. Terus tangan wanita itu dipegang erat.

Makcik Mia menarik senyum hambar. “Tak apa Hana. Benda dah lama jadi. Sekarang ni makcik bersyukur sangat sebab Allah dah pulangkan anak makcik, Daim. Kalau ada rezeki makcik jumpa anak perempuan makcik, insya Allah, jumpalah. Makcik redha.” Ujar makcik Mia tenang.

Hana menggigit bibir bawahnya. Harus tak aku berterus-terang?

“Hujan pun dah berhenti Na. Kesian Hana kena dengar cerita sedih makcik ni. Mesti Hana boring. Makcik buatkan Hana hot choc sekejap ya.” Makcik Mia bangun dan menepuk lembut pipi gadis itu sebelum menuju ke dapur.

Hana menyandar pada sofa. Salah siapa semua ni terjadi?

Ya Allah...

-

Malam itu, Hana tak boleh tidur. Kepalanya ligat memikirkan kisah perpisahan dia dengan Daim yang diceritakan makcik Mia petang tadi. Mungkin masa kemalangan itu, gambar itu terkoyak dan terbahagi dua. Separuh dalam simpanan Daim, manakala separuh lagi dalam simpanannya.

Air mata Hana mengalir tanpa dipinta. Selama ni mimpinya tentang Maisa bukanlah mimpi semata. Sebaliknya, memori pahit yang tersembunyi jauh. Satu memori yang tidak mahu diingati. Benarlah hakikat hubungan sebenar dia dan Daim. Benarlah lelaki itu abang kandungnya.

Ya Allah... Macam mana aku boleh jatuh cinta dengan abang kandung aku sendiri? Macam mana aku boleh hampir menikahi darah daging aku sendiri? Ya Allah, kenapa Kau biarkan aku mencintai lelaki yang haram bagi aku untuk mencintai? Kenapa Kau...

Ya Allah. Apa yang aku dah buat ni? Hana tersedar. Tubuhnya mula menggigil ketakutan. Astaghfirullahal’azim. Terus kepalanya dibawa ke lantai, dengan penuh rendah hati, dia memohon keampunan Allah Azza Wajalla.

Siapa aku Ya Allah untuk mempersoalkan ketentuan-Mu? Siapa aku yang hina, lemah lagi kerdil ini untuk mempersoalkan apa yang telah Kau tetapkan untuk aku? Kau tahu apa yang terbaik untuk aku Ya Allah.

“...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 216).

Terhinjut-hinjut bahunya menahan rasa pilu yang menebal di dada. Rasa berdosa menyelubungi dirinya. Dengan penuh mengharap, Hana memohon keampunan Allah Taala dan berdoa kepada Yang Maha Pencipta supaya memberinya seribu satu kekuatan menghadapi dugaan ini.

Jannah pernah cakap, bila Allah uji kita, tu tandanya Dia sayang sangat kat kita. Menurut kawannya itu, terdapat dua orang nelayan yang berkawan baik. Seorang beriman kepada Allah Taala, yang seorang lagi tidak beriman. Apabila mereka mahu menebar jala, yang tidak beriman, memuji berhala yang disembahnya sebelum jala ditebar ke laut.

Lelaki yang beriman pada Allah pula memulakan tangkapan ikannya dengan Basmallah. Apabila jala ditarik, hasil tangkapan lelaki yang tidak beriman itu sangat banyak. Pelbagai jenis ikan terjerat dalam jalanya.

Manakala bagi lelaki beriman itu, jalanya hampir saja tiada ikan. Apabila malaikat melihatkan kejadian itu, malaikat bertanya kepada Allah Taala, “Ya Allah, apakah yang telah berlaku? Hamba-Mu yang menyekutukan-Mu, Kau berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hamba-Mu yang menyebut nama-Mu, Kau tidak memberikan Dia apa-apa.”

Lalu Allah Taala menjawab, “Yang menyekutukan-Ku, tempatnya memang sudah pasti neraka. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Ku berikan kepadanya? Tetapi hamba-Ku yang beriman itu, Aku hendak mengganjarkannya syurga, maka Aku suka mengujinya untuk melihat kebenaran imannya”

 Kisah ini bertepatan dengan firman Allah Taala dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3, mafhumnya, ‘Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.’

Hana tersenyum. Hatinya mula rasa tenteram. Ya, ini adalah satu petanda yang Allah cintakan aku, Allah sayangkan aku. Aku kena bersyukur sebab dalam berjuta-juta umat di muka bumi ni, Allah pilih aku untuk diuji. Ya aku kena kuat. Aku kena kuat demi Allah. Hana memejamkan mata.

Wallahi, berikan aku kekuatan Ya Rabb.

-

Daim mendail nombor seseorang sambil melangkah ke beranda. Setelah hampir 2 jam Shuichi menunggu Daim berbual dalam telefon barulah dia boleh bertanya sepupunya semula tentang Hana, mahu memujuk juga. Baru saja dia menjejak kaki ke dalam bilik Daim, dia terkejut melihat sepupunya itu sudah memunggah semua pakaiannya di dalam almari sehingga kosong habis.

“Nani yatteru no?” Tanya Shuichi bersama kerutan di dahi.

Daim tidak membalas. Dia terus memunggah semua barang-barangnya dan disimpan ke dalam kotak manakala pakaiannya dicampak ke dalam beg. (*Nani yatteru no=Apa kau buat ni?)

“Doko ka iku no? Are you going somewhere mate?” Shuichi melangkah lemah ke dalam bilik sepupunya itu. Matanya menerewang dari satu kotak ke satu kotak. Macam nak pindah tak nak balik-balik langsung.

Daim mengangguk sekali. “Kau nak pergi mana? Ni kan rumah kau.” Balas Shuichi masih lagi berkerut. “Iie. Omae no.” Ujar sepupunya itu sambil menggeleng kepala. (*Iie. Omae no= Tak, ni rumah kau.)

“What? Daim, please, tenangkan diri kau dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru macam ni. No good will come from this hasty action.” Shuichi mengeluarkan kembali pakaian Daim dari begnya dan disangkut kembali ke dalam almari.

Sepupunya itu memandangnya tajam. “Apa kau buat ni?” Tanyanya keras. “Selamatkan kau dari menyesal tak sudah. Jom, kita keluar, kita jalan-jalan, tenangkan jiwa kau dulu. Kau dah solat belum? Apa kata kau solat dulu?” Pinta Shuichi seboleh-boleh mahu menghalang Daim daripada meneruskan niatnya untuk pergi.

Daim menarik nafas dalam-dalam sebelum menggeleng. “Aku dah solat. Kau jangan sentuh barang aku Shucihi.” Daim memberi amaran sambil melirik tajam sepupunya itu.

Shuichi mengeluh berat. Dilabuhkan punggungnya ke atas katil. Sebu dadanya melihat barang-barang Daim yang tersusun di dalam kotak-kotak dan pakaian yang sudah diletakkan semula ke dalam beg oleh lelaki itu.

“Fikir masak-masak Daim.” Pinta Shuichi lemah.

Sepupunya itu mengangkat begnya dan diletakkan di ruang tamu. Dia kemudian masuk ke dalam dan memandang sekeliling. “Flight aku pukul 4.00 pagi. Kau tak payah hantar. Aku dah call teksi.” Ujar Daim mendatar. Tergamam Shuichi mendengarnya.

“Are you serious? Kau nak pergi mana?”

Daim tidak berkata apa-apa. “Kau betul nak pergi dari sini? Tinggalkan Hana?” Lelaki Jepun itu berdiri tegak sambil meninggikan suaranya bertanya lagi. Daim menghela nafas panjang. “Kau jaga dia baik-baik Shuichi. Aku tak mampu jaga dia.” Balas Daim separuh berbisik.

Shuichi menggeleng kepala. “Iie. No. Aku tak boleh jaga dia. Kau, kau kena jaga dia. Bukan aku.” Daim memandang sepupunya itu. “Onegai.” Pujuknya. Shuichi mengurut dahi yang sudah berdenyut-denyut. (*Onegai=Please)

“Umi kau? Umi kau macam mana?” Sepupunya itu merenungnya tajam.

Daim menarik senyum lemah sebelum berlalu pergi. Shuichi memandang sepupunya itu melangkah keluar dari rumah sebelum akhirnya melepaskan satu keluhan berat.

 -

Senyuman selebar alam tercalit di wajah Budin sejurus dia menangkap kelibat Hana yang baru saja parkir motornya. Dari jauh gadis lincah itu sudah melambai-lambai sambil sebelah tangan menghayun helmet.

Hana memberi salam sambil membalas senyuman Budin. Lelaki itu menjawab salamnya dan seperti biasa, secawan hot choc dihulur kepada Hana. Gadis itu menyambut senang. Sungguh dia bersyukur ada kawan baik hati macam si Budin ni. Ikut je cakap Hana tanpa banyak mulut.

“Berseri-seri muka Hana. Mandi bunga ke pagi tadi?” Sapa si Budin mesra. Dipandang sahabatnya itu atas bawah. Baru-baru ni fesyen Hana dah makin normal. Warna pada badan dia makin berkurangan. Selalunya lebih lima warna. Sekarang, kurang dari empat. Satu fenomena alam yang luar biasa.

Hana menjeling Budin dengan ekor matanya. “Jangan cakap bunga. Dengan rumput sekali aku mandi tau.” Balasnya nakal. Budin ketawa senang. Ya, Hana tengah mood gembira sentosa. Sejak-sejak kena tengking hari tu, Budin taubat tak mahu main terjah Hana. Kena hati-hati. Kena pastikan mood dia gembira.

“Amna apa khabar?” Tanya Hana tak semena-mena sehingga terjungkit kening lelaki itu. “Amna? Err.. Sihat alhamdulillah.” Jawab Budin sedikit kekok. Bukan satu kebiasaan bagi dia berbual tentang gadis impiannya dengan Hana.

Kawannya itu terangguk-angguk. “Bila nak pinang dia?”

Kali ni dengan kaki Budin sekali terjungkit. Pinang?

“Uih ke situ pulak Hana ni. Budin baru nak enter level courtship. Sabar dulu. Harus timba pengalaman dulu Hana.” Bersungguh-sungguh Budin menafikan pertanyaan gadis itu. Hana mencebik. “Nak timba pengalaman, pinanglah. Lepas dah kahwin, timba pengalaman puas-puas.” Nasihat Hana selamba.

Budin menarik muka. Nasihatkan aku pandai. Dia tu sendiri bukan main susah nak diajak kahwin. Daim lain ceritalah. Tapi calon lainkan banyak ada. Akid ada. Walaupun Akid tu macam tak layak untuk Hana, tapi sekurang-kurangnya lelaki itu memang jujur sayangkan Hana. Lagi satu calon, yang baru tu. Kawan Daim katanya. Ha dia! Okey apa kan lelaki itu?

“Kau tengah pertimbangkan cadangan aku ke? Jangan sampai kahwin lari kat Siam Budin. Jauh sangat tu. Tak larat aku nak datang majlis kau.” Sakat Hana sambil melayang senyuman gatal. Budin ketawa lagi. “Merepek nombor satu. Takdanya nak kahwin lari. Nombor telefon Amna pun Budin tak dapat lagi inikan pulak kahwin lari.” Balas Budin kecewa. Pasrah betul dia ni.

“Weh teruk gila kau ni. Nombor telefon minah tu pun tak dapat lagi. Meh aku ajar kau cara dapatkan nombor telefon wanita.” Hana menggerakkan jarinya, menyuruh Budin merapatkan jarak.

Lelaki itu mengikut saja. Telinga dihampirkan ke wajah Hana. “Mintaklah samdol!” Terjah Hana sambil menolak dahi Budin dengan cawan hot chocnya. Kasi gegar sikit otak lelaki ni. Lembap bukan main.

Budin mengurut dahinya yang dah rasa macam melecur. Dijeling Hana macam nak telan. “Budin tahulah! Tapi Budin segan.” Dia cuba membela diri. “Kalau segan sampai itik beranak kuda bertelur pun la kau takkan dapat nombor telefon dia.” Balas Hana sambil melangkah masuk ke dalam lif bersama Budin.

“Mintak. Macam tu je?” Tanya lelaki itu.

Hana mengangguk. “Ya sahabatku sang Budin. Weh pinjam handphone kau kejap. Aku tertinggal aku punya kat rumah la. Nak call Jannah jap.” Hana meminta telefon bimbit lelaki itu. Budin terus menyerahkan telefonnya tanpa banyak bunyi dan memerhatikan tingkah Hana.

“Kata nak call Jannah?” Budin bertanya bila melihat Hana menaip sesuatu. Beberapa saat kemudian, telefon gadis itu melaungkan lagu Carlifornication. Hana menayangkan nombor Budin yang tertera di skrin telefonnya ke muka Budin. Ternganga lelaki itu.

Baru Budin faham. Simple je teknik Hana ni. “Faham?”

“Kejap. Selama ni Hana tak save nombor Budin?” Lelaki itu mengerutkan dahi. Sampai hati. Macam ni ke member? Hana menyimpan semula telefonnya tanpa membalas pertanyaan kawannya itu.

“Hana! Sampai hati!” Budin dah jauh hati.

Gadis itu mengeluh berat. Lecehlah ada member jantan tapi hati rapuh macam kaca ni. “Aku ingat nombor kau. Tak save pun takpa Budin.” Balas Hana selamba. Budin memandangnya penuh keraguan.

“01284793894.”

Budin rasa macam nak tarik Hana dalam pelukannya. “Budin rasa terharu gila sekarang ni Hana.” Wajah gadis itu ditatap dalam-dalam, seolah wajah Hana adalah wajah paling jelita pernah dia tengok.

Hana menahan gelak. Nasib baiklah aku sempat menghafal nombor dia tadi. Fuh. Kalau tak mahu seminggu aku tak dapat pekena hot choc. Apabila pintu terkuak, Hana terus keluar tanpa menunggu Budin. Lelaki itu mengikut laju.

“Hana, pergi mana?” Tanya Budin pelik apabila Hana membelok ke arah bertentangan dengan arah ke biliknya. “Bilik Daim.” Balas Hana tenang. Budin berhenti melangkah. Dipandang kelibat Hana yang semakin menjauh.

Hatinya kuat mengatakan yang Daim serius dengan kata-katanya untuk tidak bertemu dengan gadis itu lagi. Ya Rabb.. Budin meraup wajahnya. Sungguh, dia tak sanggup melihat air mata Hana. Dia tak sanggup tengok kawannya itu menderita lagi. Perlahan digagahi langkahnya menuju ke makmal.

-

Hana menarik nafas dalam-dalam, mengumpul semangat dan segala kudrat yang ada sebelum memulas tombol pintu bilik pejabat Daim. Matanya menjamah segenap segenap ruang bilik pejabat lelaki itu. Bilik yang luas itu terasa kosong. Hanya perabot semata. Kot hitam yang selalu tersangkut pada kerusi dah tiada. Fail-fail yang kadang-kala tersusun kemas, kadang-kala bersepah juga tiada. Bau laut. Bau hutan. Bau peluh. Bau buku lama. Bau Aftershave dia. Bau Daim. Bau dia juga tiada.

Nafasnya ditarik perlahan-lahan. Hana memejamkan mata sambil mengetip bibirnya. Jangan menangis Hana, jangan menangis. Tolong, jangan menangis. Dia membuka semula matanya. Bilik Daim masih kosong, sepi. Hana memaksa langkah ke meja lelaki itu.

Seolah-olah dapat dilihatnya Daim sedang meneliti komputer sambil berkerut-kerut. Sesekali lelaki itu mengeliat, membetulkan urat-urat yang tegang di lehernya. Hana melabuhkan punggung di kerusi Daim. Fikirannya mengimbau saat dia masuk ke dalam bilik Daim untuk memberinya botol spray ALLANO. Ketika itu Daim tidak berbaju dan dia tersipu-sipu malu melihat keadaan lelaki itu.

Hana tersenyum lemah. Ya, dia akui. Masa itu, hati ni sudah pun terpaut pada lelaki itu, pada kedinginan dia, pada renungan tajam dia. Hana perlahan-lahan menarik laci pertama yang terletak pada sisi meja.

Botol spray ALLANO menghiasi pandangan matanya. Hana berkerut. Sekuntum bunga Lily of the valley dan sekeping surat terlipat dua turut ada dalam laci itu. Hana mengambil surat itu dan membukanya.

Hana,
Aku tak pernah menyesal jumpa kau. Meeting you was the best thing that ever happened to me.
I’m sorry...
p/s aku cinta kau.

Hana membaca surat daripada Daim itu berkali-kali. Hana mengetip bibir, cuba menahan air mata daripada mengalir. Dia dah janji, dia takkan menangis lagi kerana Daim. Dia kena kuat. Dia kena redha. Perlahan Hana menarik nafas dalam-dalam sebelum akhirnya dia bangun dan keluar dari bilik Daim bersama botol spray ALLANO, sekuntum bunga Lily of the Valley dan sekeping surat itu.

p/s  aku cinta kau.

-

Tiga tahun kemudian...


Orang keluar masuk bilik pengantin tak putus-putus. Jurugambar, mak andam, background posers, penyemak, penyibuk, semua ada. Hana terasa sesak nafas dihimpit kumpulan manusia yang berebut mahu selfie bersama si pengantin.

“Izin laluan, izin laluan!” Jerit Hana sambil menghunus kedua tangannya ke atas, cuba meloloskan diri dari kawanan manusia yang penuh sesak dalam bilik. Sebaik saja dia berjaya keluar dari bilik, udara segar meresap masuk ke dalam hidung terus ke paru-paru dan seluruh badannya.

Haa... Segarnya! Hana memejamkan mata sambil tersandar kepenatan pada pintu bilik Jannah.Tak sangka anak-anak murid minah ni sanggup meredah beratus batu dari ibu negara sampai ke utara sini, ke rumah keluarga Jannah, semata-mata untuk mengimarahkan majlis pernikahan pensyarah kesayangan mereka. Sebusuk-busuk Jannah, sayang jugak mereka ni kat dia.

“Thank God you survived.” Tegur satu suara.

Terus terbuka kedua biji mata Hana. Wajah tampan Khasyi menghiasi pandangan. Serta-merta bibirnya mengukir senyum. “You have no idea. Kat dalam tu dah macam kat Uptown Shah Alam dah.” Hana melirik ke arah belakangnya. Trauma sekejap.

Khasyi tergelak kecil. “Figured. Saya rasa dua bas punya manusia ada kat dalam bilik tu.” Kamera yang tergantung di lehernya diambil dan beberapa keping gambar gadis itu ditangkap. Kening Hana bertaut.

“Awak, boleh tak stop ambil gambar huduh saya?” Hana menjeling geram sambil menayang lima jari, cuba nak menutup wajahnya ala-ala artis baru keluar mahkamah. Dah seminggu dia kat sini teman Jannah bersama Maya dan Khasyi, selama seminggu itu jugalah Khasyi ni tak henti-henti menangkap gambarnya.

Lelaki itu menggeleng laju.

“Berapa kali saya nak cakap Hana? You look prettiest when you’re ugly.” Ujarnya sambil menekan lagi butang kamera, mengambil gambar candid gadis itu. Hana menjulingkan mata sambil mengesat dahinya yang berpeluh sedikit.

Mana tak berpeluh, oksigen pun takda dalam bilik tu. “Awak tahu tak apa awak buat ni kejam? Leaving her in that room with all those kids?” Khasyi menghulurkan sapu tangannya kepada Hana. Gadis itu menyambut senang. Dahinya yang berpeluh dikesat dengan sapu tangan Khasyi.

“There’s no room anymore in there! Argh, kenapalah dia pergi jemput mahasiswa-mahasiswa dia tu. Pening kepala. Saya baru nak pasangkan bulu mata palsu kat mata si Jannah tu, tiba-tiba bergegar satu bilik kena serbu dengan students dia. Bulu mata palsu ke mana, kepala otak saya pun ke laut.” Hana menggeleng serabut.

Khasyi sekadar mengukir senyuman manis. Jarinya didekatkan ke tepi kepala Hana. “Apa awak cuba buat ni Khasyi?” Gadis itu membesarkan matanya sambil menjarakkan sedikit kepalanya dari Khasyi. Gerun pula tiba-tiba lelaki ni cuba nak pegang.

“I think I found Jannah’s fake eye lashes.” Bulu mata palsu Jannah yang terlekat pada selendang Hana diambil dan diletakkan atas telapak tangan gadis itu. Hana tergelak kecil.

“Bukti betapa chaoticnya kat dalam tu.” Lelaki itu angguk setuju.

“Awak, JT dah siap?” Tanya Hana melirik pada wajah tampan Khasyi. Segaknya dia berbaju Melayu, siap bersampin bagai. Macam dia pula nak berkahwin. “Dah berkurun Hana. Tunggu bestfriend awak tu je la.” Balas Khasyi sambil membelek gambar-gambar Hana yang ditangkapnya tadi. Semuanya cantik di matanya.

Hana merapatkan wajahnya ke kamera di tangan Khasyi. “Gambar JT ada? Nak tengok.” Pintanya sambil melirik lelaki itu sekilas. JT ataupun nama penuhnya Joshua Tyree merupakan pensyarah di universiti tempat Jannah mengajar. Lelaki berbangsa Scottish itu sudah lebih sepuluh tahun menetap di Malaysia. Setelah lebih dua tahun berada di bumi makmur ni, Alhamdulillah, Allah Taala telah buka pintu hati dia untuk menerima Islam. Orangnya sangat down-to-earth. Cakap pun sopan. Gaya penuh sopan-santun dia sebiji macam si Khasyi ni. Well-mannered kind of guy.

JT ni muka je Mat Salleh, jiwa dia Melayu habis. Bila dia buka mulut, semua jenis loghat dan dialek dia boleh tutur. Kalau dia kecek Kelate, memang orang akan percaya dia anak jati Kelantan. Tapi kalau orang tu dengar melalui telefon la. Kalau orang tu tengok mata hijau elmerald dia tu, memang mustahil nak percaya dia kerabat The Red Warriors. Kita makan sambal belacan, dia pun sama sibuk makan. Budu, cencaluk, telur masin, semua dia sapu. Buah kegemaran dia? Durian.

Ya, si JT ni sudah diasimilasikan. Tiga tahun kemudian, dia berpindah ke universiti Jannah dan mengajar di sana. Dari teman sekerja, akhirnya membibitkan perasaan saling mengasihi dan tak lama lepas tu, JT terus masuk meminang.  Senang je kisah hidup Jannah. Kalau tak bersyukur, tak tahu nak cakap apa.

“Hm, tekan sini.” Ajar Khasyi sambil menghulurkan kamera digital itu kepada Hana. Gadis itu membelek gambar-gambar JT. Sesekali bibirnya menguntum senyum saat melihat gambar JT yang dah sama taraf dengan model lelaki dalam iklan minyak wangi BOSS. Untungnya Jannah dapat si lelaki Scottish ni. Mata hijau, muka to-die-for, rambut kuning habis. Anak-anak kau mesti macam anak patung, Jannah.

Khasyi berkerut sedikit melihat gadis idamannya itu tersenyum-senyum saat melihat gambar-gambar suami kawan baiknya sendiri. “You do know that he is your bestfriend’s husband, right?”  Takut juga kalau-kalau si Hana ni tak tahu. Bukan boleh percaya sangat dia ni.

Hana berdengus keras. Satu jelingan tajam dilancarkan ke arah lelaki itu. “Langkah berjaga-jaga. That’s all.” Khasyi membela diri sambil mendepakan tangannya. “Banyaklah langkah berjaga-jaga awak. Sikukan baru tahu. Anyway, you took really beautiful photos. Good job Encik Doktor.” Kamera digital Khasyi dipulangkan semula.

“Scratch that. Hari ni saya Encik Fotografer.” Balas Khasyi sambil tanpa jemu mengambil gambar Hana. Gadis itu memimikkan muka. “Khasyi, in case you haven’t noticed, I’m not the bride here.” Matanya dibuntangkan luas. Sebelah tangannya digerakkan dari atas ke bawah dan kembali ke atas.

 Lelaki itu menayang barisan gigi putihnya, tersenyum. “Of course I’ve noticed, Hana. You’re not the bride, yes, but sure it is you’re the prettiest girl in the house.” Manisnya mulut lelaki ni.

Hana tak mampu menahan diri daripada tersenyum lebar. Asyik dok kena lambung pujian, mahu kembang semangkuk punggung aku ni. “Jannah, aku bagi masa 5 minit. Lepas tu, budak-budak tu kena blah, okey?” Jerit Hana sambil membuka sedikit daun pintu.

Sahabatnya tidak kelihatan di sebalik kawanan manusia, namun apabila suara nyaring Jannah membalas “Okey”, Hana menarik nafas lega. Pintu kembali ditutup dan Hana mengorak langkah ke ruang tamu.

“Quit following me will you?” Jeling Hana.

Khasyi menggeleng. “I can’t. Awak utara, saya selatan, awak timur saya barat. We’re attracted to each other. Hukum alam.” Balas lelaki itu selamba. Hukum alam mung. “Muka saya ni ada rupa magnet ke?” Perli Hana sambil mengerling lelaki itu tanpa memperlahankan langkahnya menuruni tangga.

“Ada. Magnet peti sejuk.” Jawab Khasyi nakal. Hana dah rasa macam nak sepak terajang je lelaki itu. Nasib baiklah baju kurung ni jenis moden, memang mendidik si pemakai untuk beradab sopan.

Maya yang sedang melayan keluarga dari kedua-dua belah pihak segera meminta diri saat matanya menangkap kelibat Hana dan Khasyi yang sedang rancak berbual. Ditarik kawannya itu ke satu sudut.

“Jannah mana?” Keras suara Maya bertanya.

Hana memuncungkan bibirnya ke bilik pengantin di tingkat atas. “Dia kena serbu dengan students dia kejap. 5 minit paling lama.” Balasnya senang. Maya mengerutkan dahi. “Dia gila ke apa? JT dah naik kematu kaki menunggu dia tahu tak? Khasyi, saya hantar awak suruh Jannah siap cepat. Bukan suruh dating!” Herdik Maya panas hati dengan perangai kawan-kawannya.

“Tenang Maya tenang. Jannah dah siap cuma tengah melayan budak-budak dia kejap.” Hana memegang bahu kawannya itu. “Tenang tengkorak hang. Famili JT dah mencarut London dengan aku, habuk aku tak faham. Tambah lagi dengan famili Jannah semua dah tanya mana anak depa, aku nak habaq apa? Fix this! Both of you! Now!” Maya dah meroyan. Keluar terus loghat utara dia.

Khasyi dan Hana saling berpandangan. “Okey okey sekarang juga kami halau budak-budak tu.” Mereka berdua memacu langkah memanjat tangga dan memecut ke bilik Jannah.

“Time out! Time out! Semua keluar! Keluar! Keluarrrr!” Jerit Hana melalui pembesar suara mini sebelum menekan satu butang pada hailer mini itu dan bunyi siren memenuhi segenap bilik, memekakkan telinga. Suasana bilik pengantin yang seperti di pasar malam berubah senyap, sunyi dan sepi. Semua mata memandang pembesar suara yang terapung di celah daun pintu.

Hana mengoyak senyum puas hati. Senyap pun. Perlahan-lahan dia menguak pintu dan menjerit pada hailer. “Aku kira sampai tiga. Sila keluar dari bilik ni sekarang! Satu...! Dua..! Tigaaaa!”

 Berpusu-pusu umat manusia keluar dari bilik pengantin dan tak sampai sepuluh saat, oksigen kembali menyegarkan bilik Jannah yang dah tadinya dah seperti bekas kuih raya kedap udara.

Dengan rasa lega Hana melangkah masuk menuju ke arah si pengantin. Wajah jelita Jannah dipandang penuh kagum. “Cantik sangat ke aku hari ni Hana?” Tanya Jannah sambil memegang pipinya, malu direnung macam tu. Hana ketawa besar.

“Cantik tu cantiklah. Tapi takdalah cantik sangat sampai perlu ke kau nak tersipu dengan aku? Jannah, aku sebenarnya kagum tengok muka kau. Punyalah berduyun-duyun anak-anak murid kau serbu kau, tapi make up kau masih utuh. Wow.” Hana menepuk tangan. Jujur, dia kagum.

Jannah menampal senyuman bangga. “Memang diaorang ramai Hana, tapi awal-awal aku dah set rule, 0.5 meter jauh dari aku.” Jannah menggerakkan tangannya, menunjukkan jarak antara dia dan pelajar-pelajarnya tadi.

“Bersyukurlah diaorang ada monopod, GoPro bagai, boleh tangkap gambar kau 0.5 meter jauh” Hana tergelak kecil sambil mengambil spongue dan melakukan touch up terakhir pada wajah Jannah yang sedia jelita itu.

“Kau ni cubalah sedih sikit aku dah jadi bini orang.” Jannah mencebik.

Hana berkerut. “Haa eloklah tu buat duck face. Khasyi, cepat snap gambar huduh dia ni.” Terus hilang muncung kawannya itu sebelum sempat Khasyi bertindak. Hana pasang sengih. Tahu takut.

“Kau dah pun selamat jadi isteri JT. Takkan aku nak sedih? Gila, dua kawan aku bersatu. Nak sedih amendanya? Aku gembira lagi ada tahu. Okey Jannah, muka kau dah flawless dah. Mahu tak tidur kau dengan JT malam ni.” Usik Hana nakal. Sungguh, Jannah merupakan pengantin paling cantik Hana pernah tengok.

Jannah berdesis sambil memukul lengan kawan sehidup sematinya itu. “Eleh  marah konon. Tapi muka berseri-seri, senyum sampai ke dahi.” Usik Hana lagi. “Siap kau Hana. Seronok he kenakan aku. Ada lori ada bas, ada hari aku langgar kau terus.” Jannah sempat buat lawak sarkas. Tawa Hana pecah lagi.

“Hana, awak nak kena bambu dengan Maya lagi ke?” Khasyi menjungkit sebelah kening, mengingatkannya tentang Maya yang masih meroyan di bawah. “Right. Okey Jannah. Kau dah perfect. It’s time. Ready?” Hana menjilat ibu jarinya sebelum dirapikan kening kawan baiknya itu dengan ibu jarinya.

Jannah mengangguk. “Ready. Bismillahirrahmanirrahiim.”

-

Usai sudah majlis resepsi perkahwinan Jannah dan JT. Ramai orang hadir memeriahkan suasana. Yelah, the more the merrier. Dari sanak-saudara, hinggalah jiran-tetangga, orang surau, tok imam, pelajar-pelajar Jannah, rakan sekerja dia, semua hadir. Syukur alhamdulillah. Kak Mida pun hadir juga dengan bersama suaminya, Abang Fizi dan tentera-tentera kecilnya, Lulu Jinan yang sudah menginjak umur 3 tahun. Si  kecil yang berada dalam pelukan ibunya, Ahmad Aufa, baru berusia 1 tahun.

Sebaik saja melihat Hana, Lulu Jinan berlari ke arahnya dan terus memeluk gadis itu. Hana ketawa sambil mendukungnya. “Jinan dah makin tembamlah. Aunty nak gigit pipi Jinan boleh?” Belum pun sempat Lulu Jinan memberi respons, Hana terus mencium dan menggigit manja pipi tembam anak sulung kak Mida itu.

“Uncle nak gigit jugak boleh?” Khasyi muncul di sebelah Hana dan terus menyerang pipi Lulu Jinan. Anak kecil itu ketawa mengekeh bila Khasyi menariknya dari pelukan Hana sebelum menggeleteknya di pinggang.

Hana tersenyum melihat telatah mereka. “Tak teringin ke nak ada anak sendiri?” Kak Mida memaut pinggang gadis itu. Hana memandang kak  Mida. “Mestilah nak. Tapi belum ada rezeki lagi. Ala Jinan dan Aufa pun dah macam anak aunty kan sayang?” Kali ni pipi Aufa pula jadi mangsa ciuman rakus Hana.

“Dah tiga tahun Hana. Dia masih tak mengalah?” Bisik kak Mida sambil mengerling Khasyi yang leka bergurau dengan Lulu Jinan. Hana mengangguk sambil tersenyum nipis. Sepanjang 3 tahun perkenalan dia dengan Khasyi, sudah lebih lima kali lelaki itu melamarnya. Dan jawapan yang diberikan tetap sama, NO.

“Hati dia kental kak.”

“Berapa kali dah dia propose kau?” Tanya kak Mida lagi.

Hana ketawa besar. Kepoh betul la akak aku sorang ni. “Akak sekarang ni wedding Jannah tau, apa kata kita fokus pada Jannah.”

“Budin bangkang!” Suara Budin lantang dari arah belakang. Semua kepala  menoleh. “Budin!” Hana melambai gembira. Budin datang bersama Amna. “Amboi berseri-seri pengantin baru kita ni.” Sakat Hana sambil memeluk Amna.

“Mestilah Hana. Amna bunting pelamin.” Ujar Budin teruja.

Rahang Hana dan kak Mida jatuh. Hebat si Budin ni. Tak sampai sebulan kahwin dah mengandung. “Tahniah!” Hana terus menarik Amna sekali lagi ke dalam pelukannya. Amna tersenyum segan. Tak menyabar Budin ni nak buat pengumuman.

“Tengok gambar aku tiap-tiap hari Amna, baru cantik anak kau.” Pesan Hana selamba sambil menyiku wanita itu. Budin dah tarik muka jijik. “Jangan sayang. Nanti kero kepala anak kita. Macam Hana.”

 Kuranghajo. Kalau aku tak ajar kau teknik courtship wanita, takda maknanya kau dapat si Amna ni tau! Hana memeluk tubuh sambil menjeling Budin tajam. Tawa mereka pecah tengok perangai Budin dan Hana. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis nak bergaduh.

“So Hana, bisnes macam mana okey?” Budin menukar topik perbualan setelah agak lama mereka saling menjeling tajam. Gadis itu terangguk-angguk sambil menayang senyuman million ringgit. “Tu kek tu akulah yang buat.” Hana menunjukkan ke arah kek kahwin Jannah dan Alex. Cantik. 3D lagi.

“Wahh.. Lawa lawa. Macam lagi lawa dari kek Hana buat untuk Budin je.” Budin pura-pura berkecil hati. Muncung dia nak sedepa. Hana menjulingkan mata. “Hello brader, tiga hari aku tak tidur buat kek kau tau. Jangan nak merendahkan martabat kek aku he.” Ugut Hana geram. Budin ketawa mengekeh. “Yelah, yelah. Terima kasih daun keladi. Hanalah manusia paling awesome pernah Budin kenal. Tapi serius, Budin memang tak sangka Hana ada bakat buat kek. Ingatkan buat sabun je mampu.”

Kurang asam Budin. Macam tu je kau hina aku. Hana ketawa buat-buat sambil menjeling Budin tajam. Sepok kang baru tau. Hm, cakap pasal sabun. “Samurai macam mana?” Tanya Hana setelah tawanya mulai reda.

Seminggu selepas peninggalan Daim, Hana menghantar surat perletakan jawatannya. Dia nekad meninggalkan Samurai Group. Budin, Geng Powerpuff Girls dan rakan sekerja lain tak mampu untuk menghalangnya. Sungguh, dia tak mampu terus berada di situ diselubungi bayang-bayang Daim. Syukur, projek mega A sudah lebih 60% siap. Takdalah banyak beban yang perlu dipikul staf-staf projek ni.

 Budin memandang kak Mida. Wanita itu mengangguk, membenarkan Budin menyentuh isu sensitif itu. “Macam itulah. Macam biasa. Cuma tak sebest masa time Hana ada dulu. Hana, tak nak join Samurai balik ke?” Budin memandang kawannya itu. Hana melempar segaris senyuman pahit.

“Sorry buddy, dunia aku sekarang penuh dengan kek.” Balas Hana sambil mengenyitkan mata. “Dan saya.” Tambah Khasyi sambil mendukung Lulu Jinan. Hana menarik muka. Perasan je kerja dia ni.

Budin menarik senyum. Takpa Hana, janji Hana bahagia.

“Oh lupa pulak. Akid dah tunang dah. Dengan anak taukeh kilang biskut Julia. Tahukan? Insya Allah tahun depan langsung.” Hana menyebarkan berita baik tentang lelaki yang pernah menghuni hatinya dulu.

Beberapa bulan lepas, Akid ada datang menemuinya dan meminta pandangannya tentang seorang gadis yang ditemuinya ketika mengerjakan umrah. Dia tak kenal gadis itu namun menurutnya, ibubapa gadis itu, yang turut serta mengerjakan umrah, berhasrat untuk menikahkan anak gadisnya dengan Akid. 

Lelaki itu mahukan jawapan daripada Hana. Dia perlu tahu adakah masih ada ruang di hati gadis itu untuknya, adakah gadis itu bersedia untuk menerimanya sebagai seorang suami. Andai Hana bersetuju untuk menjadi suri hatinya buat selama-lamanya, Akid akan menolak hasrat ibubapa gadis itu dan menikahi Hana. Dia berjanji akan menjadi suami yang terbaik untuk gadis itu selagi hayat dikandung  badan.

Tapi, jika tiada lagi ruang di hati Hana untuknya, Akid akan berhenti berharap. Dia akan menerima hasrat ibubapa gadis yang ditemui di Mekah itu dan belajar untuk mencintainya. Sungguh, dia redha walau apa jua jawapan yang diberikan gadis itu.

Hana tersenyum hambar. Akid, andai hati ini milik aku, kau tak perlu minta untuk aku berikan kepada kau. Namun, hati ini tidak lagi aku miliki. Hati ini telah lama menjadi milik orang lain. Dan, orang itu bukanlah kau...

Semua terangguk-angguk mendengar khabar baik itu. “Tak dapat anak taukeh kilang sabun, kilang biskut pun jadilah he.” Selamba badak je Abang Fizi memerli. Terus kak Mida menyiku suaminya. Hana ketawa besar. Tiga tahun banyak mengubah hidupnya. Mereka yang rapat dengannya semua sudah sedia maklum tentang status dirinya. Betul la kata orang, time heals everything.

“Kan? Janji dia bahagia bang. Hana okey je.” Akui Hana. Sungguh, dia gembira Akid akhirnya temui kebahagiaannya sendiri dengan wanita yang jauh lebih baik untuknya.

“Yang anak taukeh kilang sabun tu, tak nak ke kat anak taukeh ladang lembu kambing ni?” Khasyi menanyakan soalan cepu mas. Semua mata memandang gadis itu, menanti jawapannya.

Hana menarik nafas dalam-dalam. Kentot Khasyi. Timing takda nak baik lagi. Terbayang sekilas wajah dimamah usia ayahanda Khasyi, Pak Khalid, seorang penternak lembu, kambing, kuda dan haiwan ternakan lain. Aduhai.

“A moment, please?” Dipandangnya Budin, Amna, kak Mida dan abang Fizi dengan harapan mereka memahami maksudnya. “Ohh. Err.. Jom jumpa pengantin. Kita bergambar ramai-ramai.” Abang Fizi orang pertama yang dapat menangkap isyarat gadis itu. Lulu Jinan yang berada dalam dakapan Khasyi diambil dan dibawa pergi sama.

“Okey jom jom.” Akhirnya semua orang dapat menangkap apa yang abang Fizi cuba sampaikan. Mereka pun pergi meninggalkan Hana dan Khasyi di situ. “So, apa kata anak taukeh sabun?” Khasyi merenung wajah lembut Hana. Gadis itu mengambil masa untuk membalas.

“Hmmm... Kalau anak taukeh ladang lembu kambing tu janji akan jaga, setia dan sayang...”

“I already have!” Bentak Khasyi dengan nada yang masih terkawal. Matanya bertemu dengan sepasang mata coklat gadis itu. Hilang terus macho. “Anak taukeh sabun tak habis cakap lagi.” Hana mengeraskan suaranya, memberi amaran.

“Okey. Fine. But I’ve loved you for 3 years, Hana. I’ve..” Khasyi tak jadi nak menyambung ayatnya apabila Hana menjungkit sebelah kening. “Okey, sorry.” Lelaki itu mengisyaratkan Hana untuk menyambung kata-katanya tadi.

“Awak kena tolong belikan ingredients buat kek. Awak kena tolong kemas kedai tu setiap hari. Dan, awak kena tunggu saya, teman saya sampai kedai tutup.”

Khasyi terangguk-angguk sambil ketawa kecil. “Fine with that.”

“Awak kena biarkan saya layan Running Man tanpa gangguan.”

Khasyi ketawa lagi. “Okey. Takda hal.”

“So.. Anak taukeh sabun nak tak kat anak taukeh ladang lembu kambing ni?” Khasyi mengulangi lamarannya sambil sebelah tangan dirapatkan ke dada. Hana tergelak kecil. Sengaja dia memegang dagu, berfikir lama. Khasyi menunggu penuh sabar. Sesekali keningnya dijungkit, bertanya tanpa suara.

Akhirnya setelah agak lama dia mendera perasaan lelaki itu, Hana mengangguk sekali lantas menerima lamaran lelaki itu.

 “Alhamdulillah.” Satu kalimah ini saja yang lahir dari bibir Khasyi tanpa henti. Andai sudah sah hubungan antara mereka, sudah lama dikucup puas serata wajah gadis itu dengan penuh kasih.

“Boleh kita bela lembu kambing nanti?” Khasyi menatap wajah Hana lama.

“Absolutely NO.”

Mereka ketawa lagi. “Thank you, Hana.”


Khasyi merenung anak mata gadis itu. Hana tersenyum manis sebelum mengangguk. Entah mengapa ketika itu, pada saat itu, wajah Daim terbayang-bayang di fikirannya. Bau laut, bau hutan, bau peluh, bau buku lama dan bau Aftershave dia. Bau Daim seolah menggamit segenap memori di hati ini.

---

Rosebud says:
Assalamualaikum my dearest dearest readers.
Ramadhan kian berakhir, moga amalan dan ibadah kita diterima Allah Taala dan diberi ganjaran syurga kelak insya Allah. Recent calamities (MH370, MH17) were tests from Allah Taala. Salam takziah kepada keluarga mangsa, dan kita sbg umat yang beriman, kena kuat, bersatu dan percaya, ini semua ujian dari Allah Taala. He knows best. pasti ada hikmahnya. wallahualam.
Saya yakin ramai mendoakan saudara-saudara kita di Gaza, Palestine. Moga Allah bantu mereka, dan ganjari mereka dengan jannatul firdaus insya Allah. Kita kena ingat, once Palestine menang (pasti akan berlaku one fine day) dan ketika itu, kiamat sudah terlalu hampir. Sekarang ni, kenalah perbanyakkan taubat ya. Hidup di dunia ni sementara saja, di akhirat itu kekal. moga Allah Taala lindungi kita semua dari azab seksa neraka-Nya dan mengganjari kita dengan jannatulfirdaus Nya dengan rahmat Nya. insya Allah aamiin..
Thanks korang sbb setia menunggu dan membaca. Dalam membaca karya ni, jangan lupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah Taala ya. Mana yang baik boleh diceduk, mana yang tak baik, tegurlah dgn penuh hikmah. insya Allah.
Sila komen/tegur/nasihat ya.
Doakan saudara2 kita di Palestine, Syria, Afghanistan, Sudan dan ofkos, Malaysia tanah air tercinta.
Courtesy of OwhSoMuslim.com
Amalkan :)

P/s cerita ni belum habis tau...huhu