Friday, February 15, 2013

Aku bukan Hana Tajima 4

Hana memeluk kaki sambil menongkat dagu atas kepala lututnya. Anak matanya tak henti mengekori setiap gerak geri Jannah. Bila dia bangun, mata Hana turut naik ke atas, bila dia duduk, mata Hana pun jatuh ke bawah. “Kau ni.. jatuh cinta kat aku ke apa ni? Kau jangan Na, aku suka kat lelaki. Aku cakap direct ni.” Jannah akhirnya dah tahan. Tegak bulu tengkoknya bila ditenung dekat sejam.Sah, Hana ni ada masalah.

“Kau ingat aku ni hemaphrodite ke ha.” Hana mencampak stokin Angry Bird nya ke muka Jannah. “Dah tu. Dok pandang aku dengan penuh kasih sayang tu kenapa?” Jannah bangun dan keluar dari biliknya untuk lima saat sebelum masuk semula ke dalam bilik bersama segunung baju.

“Jannah, baju aku weh baju aku? Lipatkan sekali beb.” Hana menyengetkan kepala sambil menayang muka comel. “Sori dear, kau buatlah muka comel macam mana pun, aku tak nampak weh. Jalan pun aku tak NAAAAM—”

Habis baju-baju berselerakan di atas lantai. Jannah meraba-raba punggungnya yang terasa sebal dan bisa. Sakitnya, macam nak terberanak. Hana yang dari tadi berteleku atas katil sudah tergolek-golek ketawa bagi nak gila.

“Jannah, buruk weh kau jatuh.” Gelak Hana masih tak sudah.

“Ada ke orang jatuh sempat buat peace, makai make up, touch up touch up dulu?” Jannah menjeling. Bukan reti nak tolong! Gelakkan lagi ada. Kurang asam betul.

Hana menghabiskan tawa sebelum kembali berteleku memeluk betis. Muka toya ditampal semula. Jannah hilang kata. Sekejapan mood perempuan ni boleh berubah. Drama queen betul!

“Kau ni kenapa? Eh menyampah pulak aku tengok!” Jannah bangun dan mengutip setiap baju-baju yang berselerakan di atas lantai. Hana mengeluh. “Aku sedih.. Aku tak dapat jumpa lembu aku esok.” Balas Hana sambil mencemikkan muka.

“Ha, lembu? Apasal pulak kau tak dapat jumpa? Esok kita pergilah jumpa lembu kau tu.” Jannah meletakkan baju di hujung katil. Muka Hana dipandang lama. Bontot kuali pun lagi berseri.

“Kan aku kena babysit anak Jepun tu. Bila nak jumpa pulak?” Hana mencebik. Sebelah lagi stokin Angry bird dicampak ke arah Jannah. “Sebelum ambil anak Jepun tu jumpa la dulu lembu kau. Lepas tu pergilah ambil dia. Apa masalahnya?” Jannah mengutip stokin Angry Bird Hana dan dibuangnya keluar dari bilik. Hana menjeling. Stokin favourite aku tu!

“Oh ha’ah eh. Aku tak terfikir pun weh. Thanks sayang!” Wajah Hana terus berubah gembira. Hilang semua awan kilat petir tadi kat atas kepala dia. Leher Jannah ditarik dan dipeluk lama-lama. “Welcome welcome. Dah lepaskan aku boleh? Bergunung baju aku nak kena lipat ni.”

Hana melepaskan Jannah. Kawannya itu menepuk pehanya, menolaknya ke tepi, nakkan ruang untuk duduk. Sehelai baju diambil dan dihulur kepada Hana. “Tolong aku lipat sekali.”

Hana tiba-tiba memegang perut. Dahinya berkerut-kerut. “Alamak Jannah, kau tahu kan aku ni alergik dengan kerja-kerja melipat baju ni. Tengok aku dah sakit perut. Adoi. Jannah, aku pergi buat kuih dulu la ye.” Hana cepat-cepat bangun dan memecut ke tandas. Jannah menjulingkan mata.Pemalas punya budak.Tak boleh pakai langsung!

“Ha, by the way Jannah.” Kepala Hana muncul di sebalik pintu.

“Hm gapo dia?” Jannah mendongak, memandang Hana yang sudah siap sedia nak tidur. Rambut diikat pokok kelapa. Stokin Angry bird macam biasa dah tersarung di kaki. Muka dah ditampal dengan mask buatan Maya sambil mulutnya penuh mengunyah timun.

“Sori tau.” Hana mengoyak senyum manja.

“Sori gapo?” Jannah bertanya.

Hana sekadar menjungkit bahu. Esok kau tau laa kenapa.

-

Jannah mengetuk pintu bilik Hana. Kali ni Maya tak kejut Hana pulak. Hm, pelik. Selalu tanpa mengenal penat dan lelah, Maya akan setia menggegarkan pintu bilik Hana. Tapi hari ni tak. Mungkin Maya dah tak larat nak mengejutkan Hana lagi. Penat dah kot. Tak kuasa dah agaknya. Buat sakit tangan je bergendang pintu bilik minah tu. Bukan reti nak bangun. Dasar telinga cap gajah.

“Hana, bangun. Subuh oi. Dah lewat sangat dah ni. Pukul 8 dah. Bak kata Maya, takkan kau nak Subuh gajah hari-hari kot!” Jannah memimik suara Maya sambil tangannya laju mengetuk pintu bilik kawannya itu.

“Kau cakap dengan siapa tu Jannah?” Tegur Maya yang baru keluar dari bilik. Sudah lengkap berbaju kurung dan bertelekung. “Dengan Hana ni lah. Tak bangun-bangun lagi Subuh. Dahlah hari ni dia kena ambil anak bos dia tu.” Bebel Jannah sambil menggosok-gosok matanya.

Maya berkerut. “Laa kau tak tahu ke?” Tanya Maya.

“Tahu apa?” Kening Jannah terjungkit.

“Pukul 6.30 pagi tadi dia dah gerak dah.” Ujar Maya sambil memberi isyarat kepada Jannah supaya membuka pintu bilik Hana. Kosong. Katil kemas. Cadar tegang. Bantal tersusun. Stokin Angry Bird pun elok terlipat di atas katil.

Amazing.

“Weh si Hana tu ada salah makan ubat ke apa?” Jannah menggaru kepala. Rasa macam mustahil je si Hana tu mengemas bilik.

“Dia ada tampal note kat peti sejuk. Dia suruh kau baca. Pergilah tengok.” Maya mengerling ke arah dapur. Jannah angguk dan terus melangkah ke dapur pulak.

Sesaat kemudian, Jannah berlari pecut ke porch rumah. Kosong. Tiada apa-apa. “Hanaa!!! Aku bunuh kau!!”

Maya mencabut nota kecil yang tertampal pada dinding peti sejuk. Kepala digeleng-geleng. “Hana, Hana.”

Sori sebab....Neo kau, aku bawak angkut anak Jepun tu kejap. ><


---

1 comments:

Violet Sofia said...

Hana... Hana... nakal tak sudah.

Post a Comment