Friday, February 15, 2013

Aku bukan Hana Tajima 2

“Morning Si Comel!”

Budin dengan senyuman pembaca beritanya. Hana membalas senyuman Budin, macam biasa, sambil helmet yang dikepit dicelah lengan kanan bertukar ke lengan kiri.

“Morning Budin!” Matanya mendarat padapaper cup Coffee Bean di tangan kanan Budin, memberi signal.

“Ye memang Budin beli ni untuk Hana pun!”

Budin menghulur paper cup itu kepada Hana yang dah tersengih-sengih. “Terima kasih Budin. Kaulah lelaki paling budiman pernah aku jumpa!” Hana melempar senyuman lemak berkrim sambil tangannya menekan butang naik pada lif.

“Bapak Budin tu Hana!” Jeling Budin.

Hana tergelak. Lupa pulak si Budin ni bin Budiman. “Alaa kau ni Budin. Itu pun nak tersinggung. Tak cool langsung!” Hana menapak masuk ke dalam lif sejurus pintu lif terbuka. Budin mengikut dari belakang.

“Budin dah cukup cool dah belikan hot choc untuk Hana tau!” Rengus Budin masih mengomel tak habis-habis dari tadi. “Ye ye Budin yang cool. Terima kasih daun keladi. Untunglah siapa kahwin dengan Budin.” Hana masih terkekeh ketawa. Pagi-pagi lagi endorfin dah dirembes ke dalam sistemnya.

“Hana tak nak ke kahwin dengan Budin?”

Serta-merta kening anak dara itu terjungkit. Hana menoleh memandang Budin. Bab-bab kahwin ni jangan dipetik. Pantang sungguh telinganya mendengar satu perkataan itu.

“Budin, kau ni kot ye pun, romantiklah sikit. Ada ke patut lamar aku macam tu je? At least melututlah sambil hulur bunga ke, cincin diamond besar ni ke. Barulah terharu sikit. Ini setakat dalam lif. Ceh, memang ke laut la Budin.”

Bebel Hana sambil tangan kirinya digenggam dan diletak di atas tangan kanan, menayang kepada Budin fantasi lamaran dan cincin yang diimpinya. Terus mata Budin terbeliak. Wajahnya sedikit biru.

“Tak naklah Budin kahwin dengan Hana. High maintenance. Buat habis beras je!” Balas Budin sambil melangkah keluar dari lif. Tawa Hana pecah lagi.

“Alaa Budin, janganlah macam ni. Tadi kata nak kahwin dengan aku!” Hana mengekori langkah lelaki itu.

“Tolong, Hana dah gila!” Jerit Budin sebaik saja pintu department HR dibuka. Satu pejabat memandang mereka. Ada yang melopong, ada yang tergelak, ada yang tersedak, ada yang menjerit sekali sambil membuat background echo dan ada juga yang menjeling menyampah.

“Hei korang ni. Pagi-pagi dah buat tayangan sinetron.” Kak Mida menggeleng.  Tangannya direhatkan atas dinding cubicle sambil matanya menjamah wajah Hana dan Budin bergilir-gilir.

“Budin start dulu Kak Mida. Mula-mula dia lamar Hana, lepas tu dia reject Hana pulak. Tak guna betul.” Bising Hana dengan muka penuh emosi.

“Dah demand macam-macam, siapa larat? Dahlah mintak benda-benda mengarut. Ada ke patut dia nak cincin besar penumbuk! Dia ingat pakcik Budiman tu tokeh ayam agaknya!” Laju jari telunjuknya lurus ke arah Hana yang dah ketawa mengekeh sambil memegang perut.

“Laa ye ke? Ingatkan pakcik Budiman tokeh sotong tadi!” Sakat Hana tak nak kalah. “Apa sotong-sotong? Budin ni jantan tau! Cuma kadang-kadang tu takut sikit je!” Balas Budin. Tangannya dah mencekak pinggang.

“Eh terasa pulak. Ada aku sebut nama kau ke?”Lagi menggila tawa Hana. Nama Budin dan sotong diharamkan diletakkan dalam satu ayat, mengikut kata Budin.

Budin yang dah hilang kosa kata nak membidas Hana sekadar menjelingkan mata. Lagi lama dia melayan si Hana ni, lagi menyakitkan hati. Baik menyerah kalah je. “Eleh sentap. Hati besar kuman. Apa daa.” Ejek Hana masih kental menyakat.

“Tak nak belanja Hana hot choc lagi!” Jerit Budin, menjelir lidah.

“Tak nak sudah.Tak heran pun.” Hana membuat muka sambil mengajuk Budin. Tak nak belanja hot choc konon. Percayalah, gerenti esok pagi depan elevator tu Budin dah menapak dengan hot choc di tangan. Confirm!

“Dah jangan kacau Budin! Budin nak buat kerja!” Sambil menghentak kaki, Budin berjalan laju ke bilik pantry. Nak buat milo panas.

“Ohh buat kerja kat pantry eh Budin?”Perli Hana kuat.Sengaja nak menaikkan suhu lelaki itu.“Diamlah!” Balas Budin geram.

Hana melompat bila lengan kanannya ditepuk Kak Mida. “Kau ni Hana, nakal betul! Perangai macam budak-budak. Suka nau majal si Budin tu.”Tegur Kak Mida separuh marah separuh bergurau.

“Dah tu nak majal siapa lagi? Muka Budin tu memang muka mintak kena majal. Bukan salah Hana.” Balas Hana nakal. Rasa bersalah sedikit pun tak terdetik dalam hatinya. Kak Mida menggeleng.

“Mentang-mentang si Budin tu tak berapa keras. Kau buli je dia.”

Terus mulut Hana melopong. Jari telunjuknya digoyang-goyang. “Haaa haaa Kak Mida kata Budin lembut. Cakap kat Budin. Habislah akak.” Kali ni giliran Kak Mida pulak disakatnya.

Pinggang Hana dicucuk. “Aku pun kau nak menyakat!” Ketawa terlepas dari mulut Hana. “Dahlah, daripada akak melayan kau, baik akak join Budin buat air milo.” Kak Mida dah malas nak melayan Hana. Sebelum pergi, sempat dia menepuk lengan gadis nakal itu.

“Kak Mida! Mai secawan!” Jerit Hana, mengundang tawa satu department.


---


0 comments:

Post a Comment